Takhta Permaisuri (Altar Cinta 2)
Tajuk buku : Takhta Permaisuri (Altar Cinta 2)
Nama penulis : Jibrail Dzafri & Nawzil Alexander
Penerbit : alfarikh empire
Halaman : 121 helai (tidak termasuk kulit buku)
Harga : RM13
Alhamdulillah, selesai sudah bacaan saya pada kali ini, iaitu sambungan bagi Altar Cinta. Sebaik sahaja pembaca melihat tajuk dan kulit buku ini lalu mengaitkannya dengan Altar Cinta, pasti pembaca sudah dapat agak apakah yang akan berlaku dalam Takhta Permaisuri ini bukan? Ya, perebutan kuasa! Takhta Permaisuri memfokuskan kepada usaha Ratu Vianna untuk menghapuskan anak tirinya iaitu Puteri Bintang Utara (Eva Natasha) supaya beliau dapat meneruskan agenda jahatnya untuk menguasai Kota Limdrosia.
Walaupun Ratu Vianna ialah ibu tirinya, namun Puteri Bintang Utara sangat membenci wanita itu kerana dia merupakan seorang yang penuh dengan muslihat dan sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-citanya untuk menjadi manusia yang paling berkuasa sehingga sanggup membunuh orang-orang di sekelilingnya. Maka sebab itu lah, Puteri Bintang Utara juga sangat berhasrat untuk membunuh ibu tirinya itu supaya segala dendamnya selama ini terbalas dan untuk memelihara kedaulatan dan keamanan negerinya, Kota Limdrosia.
Dalam buku ini terdapat banyak babak perlawanan yang berlaku, terutamanya pada Bab 8, 9, 10 dan 11. Pada salah satu babak perlawanan inilah akhirnya identiti sebenar Panglima Heinz terdedah. Siapakah sebenarnya Panglima Heinz? Mengapakah beliau begitu berdendam dengan Sufi dan rakan-rakannya? Oh, pembaca sekalian juga pasti tertanya-tanya kan, apa kaitan Sufi dan Akil dalam konflik Ratu Vianna-Puteri Bintang Utara? Nah, kalau nak tahu jawapannya, cepat-cepat lah beli buku ini okay?
Kesimpulannya, seperti Altar Cinta, penulis juga masih menerapkan elemen ketuhanan dalam karya mereka kali ini. Antara babak tersebut adalah apabila Demang Wali membacakan ayat ke-110 daripada surah Al-Imran berserta terjemahannya apabila ingin mengajak anak-anak muda di kampungnya untuk melakukan amar makruf nahi mungkar.
Buku ini hampir sempurna, namun, saya dapat mengesan beberapa kesalahan ejaan pada beberapa buah bab. Diharapkan supaya pihak penulis dan penerbit lebih teliti dalam hal ini kerana secara peribadi saya berpendapat bahawa kesalahan ejaan yang kerap berulang akan membantutkan tempo dan keterujaan seseorang untuk meneruskan bacaannya.
Sebelum saya mengakhiri ulasan kali ini, ingin saya kongsikan beberapa dialog yang memberikan kesan kepada saya, iaitu:
1. "Islam kuat bila mereka bersatu...Itulah tunjang kekuatan mereka walaupun bilangan mereka sedikit"
Maharaja Steinhart; halaman 4; perenggan 7.
2. "...semakin besar harapan kita kepada selain Allah, maka semakin besar kekecewaan yang bakal menghentam kehidupan kita. Tiada siapa boleh bantu kita melainkan Allah...biar saja Dia yang mengurus berdasarkan kehendak dan ketetapanNya. Cuma, jangan berhenti berdoa"
Akil; halaman 116; perenggan 6.
Itu sahaja untuk kali ini. Terima kasih kerana sudi membaca!



Comments
Post a Comment